BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
Showing posts with label umum. Show all posts
Showing posts with label umum. Show all posts

Saturday, March 20, 2010

Awasi anasir jenayah terhadap pelajar



PENGLIBATAN murid sekolah dalam kegiatan salah laku disiplin merupakan perbuatan yang perlu dilihat secara serius oleh semua pihak khususnya pihak pengurusan sekolah.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan gejala ini semakin serius melanda golongan pelajar antaranya ialah :

Faktor pertama ialah kemerosotan moral dan akhlak yang berleluasa akibat kesan pembangunan negara dan era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Faktor kedua, keruntuhan institusi kekeluargaan untuk memainkan peranannya sebagai institusi pembentukan insan yang positif dan produktif.

Faktor ketiga, masalah dan krisis rumah tangga yang dihadapi oleh remaja sekolah. Akhirnya faktor pengaruh negatif rakan sebaya.

Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dipertanggungjawabkan untuk mendidik generasi muda membenci jenayah seperti Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) telah mengambil inisiatif dengan menubuhkan Kelab Pencegahan Jenayah sejak tahun 1999 dengan kerjasama Kementerian Pelajaran.

Penubuhan kelab pencegahan jenayah di sekolah merupakan salah satu saluran terbaik mengurangkan masalah salah laku disiplin murid. Penubuhan kelab ini di sekolah-sekolah bukanlah kerana sekolah itu bermasalah tetapi kerana sekolah adalah satu-satunya tempat di mana satu kumpulan murid atau pelajar diletakkan bersama-sama dalam satu persekitaran dan kumpulan besar yang perlu diselia dengan baik oleh para guru.

Mengikut Perangkaan Kementerian Pelajaran Malaysia, setakat ini terdapat 1,972 Kelab Pencegahan Jenayah di sekolah menengah dan 5,074 kelab di sekolah rendah.


Matlamat MCPF ialah membentuk masyarakat remaja agar mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap pencegahan jenayah dan agar mereka mempunyai kefahaman mengenai penguatkuasaan undang-undang dalam konteks mewujudkan masyarakat yang harmoni dan aman.

Oleh yang demikian, adalah menjadi harapan kami agar semua pihak sama ada agensi penguatkuasaan undang-undang atau NGO bersama-sama memikul tanggungjawab untuk menangani masalah tersebut demi kebaikan masa depan generasi muda kita.

Saya mengharapkan agar pelajar juga turut memainkan peranan yang berkesan dalam membantu polis menangani masalah ini. Caranya tidak sukar, iaitu dengan tidak terlibat dan tidak melakukan jenayah. Para pelajar bertindak mengawasi anasir-anasir dari luar dan rakan-rakan sekolah yang cuba melakukan perbuatan jenayah, membuli rakan-rakan, penyalahgunaan dadah dan lain-lain salah laku jenayah.

Kekuatan diri boleh dibina menerusi didikan dan penghayatan agama dan moral yang mantap. Ini boleh dilakukan dengan meletakkan pelajaran sebagai keutamaan masa kini. Tanpa pelajaran, pelajar sukar untuk menempuh kejayaan di masa hadapan.

Golongan Pelajar adalah aset yang berharga kepada negara kerana mereka jugalah yang akan menentukan corak kehidupan kepimpinan di masa akan datang. Para pelajar harus sedar di samping belajar dan mencapai kecemerlangan dalam pelajaran, mereka juga perlu bertanggungjawab kepada diri sendiri, ibu bapa, sekolah, masyarakat, negara dan seterusnya kepada harta benda awam.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia

Utusan Malaysia Online: 18 Mac 2010

Monday, February 15, 2010

JPA nafi potong elaun COLA, ITKA

KUALA LUMPUR 22 Jan. - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini menafikan beberapa elaun dinikmati kakitangan kerajaan seperti elaun sara hidup kakitangan awam (COLA) dan Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) akan dipotong.

"JPA ingin memaklumkan bahawa tidak ada keputusan kerajaan untuk memotong elaun-elaun seperti COLA dan ITKA," menurut jabatan itu dalam kenyataan satu perenggan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Kenyataan JPA itu sekali gus menyangkal desas-desus yang mengatakan bantuan sara hidup kepada kakitangan awam termasuk COLA dan ITKA akan ditarik sebagai langkah penjimatan perbelanjaan kerajaan.

Sejak beberapa hari lalu, kira-kira sejuta kakitangan awam berada dalam dilema berikutan tersebarnya berita melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan laman-laman blog yang mendakwa elaun kakitangan awam akan ditarik.

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan kenyataan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman yang turut menafikan khabar angin tersebut.

sumber : http://www.utusan.com.my/utusan 23 Januari 2010

Friday, November 20, 2009

Keputusan UPSR 2009

48,171 gred A

Oleh Azrina Ahzan
bhnews@bharian.com.my

PELAJAR Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail 4 mendapat imbuhan tunai RM100 selepas memperoleh 5A dalam UPSR di Kota Bharu, semalam.

Jurang perbezaan antara calon luar bandar, bandar mengecil

PUTRAJAYA: Seramai 48,171 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) memperoleh gred A atau cemerlang bagi semua mata pelajaran tahun ini berbanding 46,641 calon tahun lalu, meningkat 0.32 peratus.

Baki 319,336 calon memperoleh minimum gred C atau baik bagi semua mata pelajaran, manakala 3,266 lagi memperoleh gred E atau sangat lemah bagi semua mata pelajaran.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata pencapaian diukur berdasarkan Gred Purata Nasional (GPN) yang menggunakan indeks cemerlang (semua A), baik (minimum C) dan sangat lemah (semua E).

GPN adalah indeks yang digunakan bagi merumus pencapaian keseluruhan calon dalam peperiksaan serta ia dihitung berdasarkan lima gred pernyataan iaitu gred A (satu), B (dua), C (tiga) dan D (empat) dan E (lima).

"Pencapaian keseluruhan nilai GPN meningkat sebanyak satu peratus tahun ini. Cemerlang (semua A) meningkat kepada 9.51 peratus tahun ini berbanding 9.19 peratus tahun lalu dengan jumlah perbezaan sebanyak 0.32 peratus.

"Pencapaian baik (minimum C) meningkat 63.03 peratus berbanding dengan 62.56 peratus dengan perbezaan 0.47 peratus, manakala pencapaian lemah (semua E) menurun kepada 0.64 peratus berbanding dengan 0.66 peratus dengan perbezaan 0.02 peratus," katanya pada sidang media mengumumkan keputusan UPSR 2009 di sini, semalam.

Seramai 517,908 calon berdaftar menduduki UPSR tahun ini 8 hingga 10 September lalu. Daripada jumlah itu, 510,125 adalah calon sekolah Kementerian Pelajaran, manakala 7,783 adalah calon sekolah swasta.

Beliau berkata, pencapaian calon luar bandar juga menunjukkan peningkatan, malah jurang perbezaan antara murid bandar dan luar bandar kini semakin berkurangan.

"Perbezaan bilangan calon bandar dan luar bandar mendapat gred A bagi semua mata pelajaran tahun ini ialah 3.64 peratus atau 14,980 calon berbanding 4.22 peratus atau 16,241 calon tahun lalu.
"Begitu juga perbezaan nilai GPN bagi murid di kawasan bandar dan luar bandar bagi tahun ini adalah lebih kecil, iaitu 0.2 berbanding 0.22 tahun lalu," katanya.

Mengenai calon istimewa, Alimuddin berkata, 1,086 calon istimewa mengambil UPSR tahun ini, iaitu dua kali ganda berbanding tahun lalu, iaitu 664 calon.

Daripada jumlah itu, 13 calon memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran, 11 (gred C) dan 59 (gred E).

Mengulas pencapaian keseluruhan UPSR tahun ini, Alimuddin berkata, secara keseluruhan ia menunjukkan bahawa sistem pendidikan negara berada di landasan yang baik.

"UPSR diadakan bertujuan mengukur tahap penguasaan murid membaca, menulis, mengira dan menaakul (4M).

"Maklumat diperoleh dijadikan petunjuk sejauh mana tahap penguasaan mereka dalam mata pelajaran yang ditawarkan sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah," katanya.

Dari segi mata pelajaran, Bahasa Tamil menunjukkan peningkatan gred A yang tinggi, iaitu sebanyak 3.6 peratus dan Matematik yang meningkat 4.2 peratus.

Berita Harian Online: 20 November 2009